suria

Amaran Kepada Pihak Tidak Lapor Kes Dera Kanak-Kanak

MARANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi amaran kepada keluarga, pengasuh dan pengamal perubatan supaya segera melaporkan sebarang kes penderaan yang melibatkan kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata amaran tersebut diberikan kepada tiga pihak berkenaan adalah kerana ketiga-tiga kategori itu termasuk dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

"Di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, jika mereka (keluarga, pengasuh dan pengamal perubatan) syak atau mendapat maklumat bahawa ada kanak-kanak yang didera, dicedera dari segi fizikal atau emosinya atau kanak-kanak itu berada dalam keadaan bahaya ataupun dianiaya, dibuang atau dalam keadaan terdapatnya gangguan seksual, maka mereka harus laporkan.

"Jika mereka tidak membuat laporan atau membiarkan kanak-kanak ini berada dalam begitu, maka mereka sudah melanggar undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak. Saya nak bagi amaran, jangan sekali-kali ambil perkara ini sambil lewa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jalinan Rakyat dan pelancaran Skuad Sayang peringkat negeri di Bukit Payong, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes penderaan kanak-kanak yang semakin berleluasa kebelakangan ini dengan kes terbaru membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan yang meninggal dunia akibat dipijak dalam kejadian di Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.

Dalam kejadian itu, tulang rusuk kanak-kanak malang itu retak selain hatinya pecah serta terdapat banyak kesan lebam pada badan mangsa.

Shahrizat juga berkata mengikut Akta Kanak-kanak 2001, jika sabit kesalahan, mereka iaitu keluarga, pengasuh dan pengamal perubatan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda RM50,000.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama keluarga mangsa, pengasuh dan pengamal perubatan yang gagal bertindak segera melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung perkara itu.

Selain itu, beliau berkata pengarah dan semua pegawai JKM telah pun diarah mengambil tindakan segera kepada mana-mana pihak yang dengan sengaja tidak melaporkan kes penderaan.

"Saya juga dah beri arahan kepada pengarah dan semua pegawai JKM supaya tidak teragak-agak untuk mengambil kanak-kanak yang jatuh dalam kategori didera, terabai, teraniaya atau dalam keadaan berbahaya untuk kita letakkan di bawah jagaan JKM.

"Jangan ada (keluarga) yang menangis, tiada maaf bagi mu lagi kalau anak mereka (mangsa dera) diambil oleh JKM untuk dijaga. Undang-undang sedia ada dah cukup tapi sikap masyarakat kita seperti ini, kita khuatir ia akan jadi 'tsunami' banyak kes kanak-kanak didera dan dibunuh dengan kejam," katanya.

Selain itu, Shahrizat yang melahirkan rasa terkilan, turut mempersoalkan tindakan sesetengah keluarga mangsa dera di mana kedua-dua ibu bapanya yang mengetahui bahawa anaknya pernah menjadi mangsa dera tetapi tidak melaporkannya.

"Contohnya kes semalam. Sudah ada bibit-bibit penderaan. Soalan saya kenapa insiden ini tidak dilaporkan.

"Ini satu kecuaian dan melanggari undang-undang dan kalau mereka takut (buat laporan) mereka boleh menghubungi talian 15999 dan memaklumkan mengenai apa yang berlaku," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain