suria

Skuad Sayang Disaran Jadi Mata Dan Telinga Kementerian - Shahrizat

MARANG: Skuad Sayang yang ditubuhkan Pergerakan Wanita Umno diminta menjadi mata dan telinga untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam usaha membendung peningkatan kes penderaan dan pembunuhan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata ia perlu bagi membendung kes penderaan dan pembunuhan kanak-kanak yang kini dilihat semakin berleluasa.

"Kes-kes penderaan dan pembunuhan yang melibatkan kanak-kanak selalu dipaparkan (di akhbar). Jadi saya nak minta kepada Skuad Sayang ini supaya menjadi mata dan telinga kepada kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival Jalinan Rakyat dan pelancaran Skuad Sayang peringkat negeri di Bukit Payong, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Wanita Umno berkata penubuhan skuad itu, yang dilancarkan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor pada 13 Okt lepas, mendapat sambutan positif dan kini berkembang ke seluruh negara.

Shahrizat berkata dalam usaha memperkasakan skuad itu, semua anggota yang terlibat akan diberi latihan secara intensif bermula April ini bagi membolehkan mereka mengendalikan kes-kes yang memerlukan perhatian segera.

Latihan itu akan dikendalikan oleh pakar bagi memastikan petugas Skuad Sayang dapat mempelajari teknik pengendalian kes dengan segera, katanya.

Skuad Sayang adalah projek Wanita Umno yang melibatkan program kebajikan, kesukarelawan dan kemasyarakatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain