suria

Polis Kajang Tahan Penjenayah dan Rampas Pistol Tiruan

KAJANG: Seorang lelaki yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau sejak 1999 ditahan polis Rabu lalu kerana dipercayai terlibat dalam 10 kes samun bersenjata di beberapa kedai serbaneka '7-Eleven' dan pecah rumah di sekitar bandar itu.

Polis turut merampas sepucuk pistol tiruan daripada suspek berusia 30 tahun itu ketika ditahan di sebuah pusat hiburan di Bandar Teknoloji Kajang di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Shakarudin Che Mood berkata polis juga menemui sarung pistol serta sebuah motosikal yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan kegiatan samun.

"Dalam 10 kes itu, kerugian dianggarkan RM60,000 dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata dalam siasatan lanjut di kediamannya, polis turut menemui lima buah telefon bimbit pelbagai jenama.

"Suspek merupakan seorang penganggur dan bergerak secara solo dan aktif. Dia pernah menjalani hukuman sebelum in atas kersalahan pecah rumah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shakarudin berkata dengan penubuhan sebuah unit khas, IPD Kajang, mereka berjaya mengurangkan kes kecurian motosikal di sekitar Kajang dengan mencatatkan 338 kes pada Januari dan Februari lepas berbanding 415 kes dalam tempoh sama tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain