suria

Pemilik Restoran Didakwa Sebabkan Kematian Kekasih

KUALA LUMPUR: Pemilik restoran Hong Fook Steamboat Restaurant mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan menyebabkan kematian teman wanitanya pada Hari Kekasih, 14 Februari lepas.

Zhao Fuan, 42, warganegara China, didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat menyebabkan kematian, Guo Hongxia, yang juga warganegara China di Jalan Rimbunan Raya 1, Laman Rimbunan Kepong, Sentul antara 12.30 malam dan 6 pagi.

Pertuduhan itu dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamaruddin.

Zhao yang tidak diwakili peguam bela didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Zainal Abidin kemudian menetapkan 9 April ini untuk sebutan kes sementara menunggu laporan Jabatan Imigresen dan membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain