suria

M'sia Mohon Kuota Tambahan Khas Haji

KOTA BAHARU: Kerajaan sedang berunding dengan pihak berkuasa Arab Saudi untuk memohon kouta tambahan khas bagi jemaah haji Malaysia untuk membolehkan lebih ramai terutama warga emas dapat menunaikan haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata jumlah kouta 26,000 yang dibenarkan sekarang tidak mencukupi berbanding jumlah jemaah Malaysia yang meningkat setiap tahun.

Beliau berkata dengan had kouta yang ada, adalah dikhuatiri kalangan warga emas mungkin ada yang tidak sempat menunaikan fardu haji.

"Ini kerana warga emas terutama mereka yang berumur 75 tahun ke atas lebih terdedah dengan pelbagai risiko penyakit.

"Oleh sebab itu, kita sedang berunding dengan pihak berkuasa Arab Saudi supaya memberi kouta tambahan khas untuk tempoh dua atau tiga tahun kepada Malaysia, bagi mengurangkan jumlah bakal haji yang menunggu giliran begitu lama kerana melebihi kouta," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, beliau bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengerjakan umrah baru-baru ini telah menyuarakan pandangan itu kepada pihak berkenaan dan kini ia dalam peringkat kajian pihak terbabit.

Mengenai sambutan negara luar terhadap pengendalian jemaah haji oleh Lembaga Tabung Haji Malaysia (Tabung Haji) , Jamil Khir berkata kerajaan sedia memberi khidmat bimbingan kepada negara luar, terutama dari Afrika menerusi konsortium.

"Kita diberi kepercayaan dan penghormatan yang begitu tinggi oleh negara luar dalam mengendalikan sistem perkhidmatan jemaah haji melalui Tabung Haji kerana ternyata ia berkesan," katanya.

Ditanya mengenai memorandum yang diserahkan oleh pihak agensi pelancongan supaya kerajaan menghapuskan subsidi kepada jemaah haji dalam mengerjakan ibadah itu kerana ia menjejaskan mereka, Jamil Khir berkata apa yang dilaksanakan kerajaan adalah sebagai suatu pertimbangan atau budi bicara kerajaan untuk meringankan beban mereka yang kurang mampu.

Menurutnya, kerajaan terpaksa menampung kos subsidi RM2,620 bagi setiap jemaah haji atau mencecah RM57 juta setahun.

Beliau berkata antara tumpuan utama yang diberikan kerajaan ialah mencari makanisme yang berkesan bagi memastikan tunggakan senarai menunggu pemohon untuk menunaikan haji dapat diselesaikan atau dikecilkan jumlahnya.

Sebab itu, kerajaan menggalakkan remaja menyimpan dengan Tabung Haji di peringkat persekolahan lagi dengan mewujudkan kelab penyimpan TaHa, dengan Tabung Haji menempatkan pegawai khas di pejabat itu untuk mengendalikan pendeposit peringkat umur berkenaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain