suria

Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda MCA Ditangguhkan

KUALA LUMPUR: Mesyuarat agung tahunan (AGM) Pemuda MCA yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan, kata ketuanya Datuk Dr Wee Ka Siong di sini hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar exco di ibu pejabat parti di sini.

Beliau berkata langkah itu diambil disebabkan ketidaktentuan AGM parti yang dijadualkan Ahad ini ekoran perletakan jawatan 21 anggota jawatankuasa pusat yang dilantik, semalam.

Mereka menuntut supaya diadakan pemilihan parti yang baru, yang perlu diadakan dalam tempoh sebulan.

Wee berkata beliau sudah menemui setiausaha agung parti Datuk Wong Foon Meng semalam, namun Wong tidak dapat mengesahkan sekiranya AGM Ahad ini akan diteruskan.

"Sehingga pagi ini masih tidak ada pengesahkan, kami buat pertimbangan khusus setelah berbincang panjang lebar dan ambil keputusan untuk tunda AGM Pemuda MCA," kata Wee.

Beliau seterusnya menasihatkan perwakilan yang masih belum tiba di ibu negara untuk perhimpunan itu supaya menukar rancangan mereka, namun menurutnya kemudahan tetap disediakan bagi mereka yang sudah tiba di ibu kota.

Wee berkata majlis makan malam sambutan ulang tahun MCA yang dirancang esok juga sudah dibatalkan.

Sementara itu Pergerakan Wanita MCA di bawah kepimpinan Datuk Paduka Chew Mei Fun turut mengadakan mesyuarat tergempar pagi ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain