suria

Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda Dan Wanita MCA Ditangguhkan

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda dan Wanita MCA hari ini mengambil keputusan menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) masing-masing ekoran perletakan jawatan 21 anggota jawatankuasa pusat parti yang dilantik, untuk memberi laluan kepada pemilihan baru dalam parti.

Kedua-dua sayap parti MCA itu mengadakan mesyuarat tergempar exco di ibu pejabat parti di sini hari ini.

Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka berkata langkah itu diambil disebabkan ketidaktentuan AGM parti yang dijadualkan Ahad ini ekoran perletakan jawatan 21 anggota jawatankuasa pusat parti yang dilantik, semalam.

Mereka berbuat demikian bagi menuntut supaya diadakan pemilihan parti yang baru, yang perlu diadakan dalam tempoh sebulan. Wee berkata beliau sudah menemui setiausaha agung parti Datuk Wong Foon Meng semalam, namun Wong tidak dapat mengesahkan sekiranya AGM Ahad ini akan diteruskan.

"Sehingga pagi ini masih tidak ada pengesahan, kami buat pertimbangan khusus setelah berbincang panjang lebar dan ambil keputusan untuk menunda tarikh AGM Pemuda MCA," katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan perwakilan yang masih belum tiba di ibu negara untuk perhimpunan itu supaya menukar rancangan mereka, namun menurutnya kemudahan tetap disediakan bagi mereka yang sudah tiba di ibu kota.

Wee berkata majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun MCA yang dirancang esok tidak dibatalkan.

Sementara itu Ketua Wanita MCA Datuk Paduka Chew Mei Fun berkata penangguhan itu dibuat dengan persetujuan majoriti.

Bagaimanapun menurutnya sambutan Hari Antarabangsa Wanita malam ini akan diteruskan seperti yang dirancang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain