suria

Duda Miliki 61 Peluru Hidup Ditahan

KUANTAN: Seorang duda yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Inderapura, dekat sini.

Polis turut menemui 61 butir peluru di dalam rumah suspek selepas mengadakan Ops Pintu di sekitar Kuantan, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, Supt Nordin Mustapha berkata dalam serbuan hasil maklumat orang awam itu, polis menemui 47 butir peluru jenis .38 special, 14 butir peluru senapang patah serta 76 butir kelongsong peluru.

"Sepasukan polis dari Cawangan Unit Risikan Jenayah Negeri Pahang turut merampas enam buah teropong, sebuah mesin pemotong kayu dan sebuah motorsikal jenis Yamaha 135 yang dilaporkan hilang sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ketika serbuan dibuat pada kira-kira 11.30 malam, duda berusia 31 tahun itu berada seorang diri di dalam rumah dan peluru itu ditemui di atas almari pakaian dalam sebuah bilik tidur.

"Suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas selepas sepasukan polis yang diketuai Inspektor Ruslan Usman mengepung rumah berkenaan," katanya.

Lelaki terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Sementara itu, dalam operasi yang sama, polis turut menahan seorang penganggur di sebuah rumah di Lorong Sungai Isap Perdana 34 dekat sini kerana dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah.

"Polis turut merampas barang hasil pecah rumah yang dilakukan oleh lelaki berusia 22 tahun terbabit," katanya.

Beliau berkata pihak polis percaya lelaki berkenaan melakukan kegiatan itu secara berkumpulan dan polis kini sedang giat memburu ahli kumpulannya itu.

"Penangkapan kedua-dua lelaki terbabit dipercayai dapat menyelesaikan kira-kira 30 kes pecah rumah dan curi motorsikal di Kuantan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain