suria

Polis Cari Lelaki Bantu Siasatan Kes Samun Teksi

BATU GAJAH: Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kejadian samun ke atas pemandu teksi di sekitar daerah ini sejak beberapa bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, kejadian terbaru berlaku pada Selasa lepas apabila seorang pemandu teksi yang membawa seorang penumpang dari Ipoh ke Pusing dipaksa penumpang itu berhenti di kawasan sunyi.

"Dalam kejadian kira kira pukul 9.45 malam itu, ketika sampai di tempat yang diarahkan penumpang, tiga lagi suspek sedang menunggu dan mereka kemudian mengikat pemandu teksi mengunakan rantai besi dan mengambil barangan miliknya sebelum melarikan teksi berkenaan," kata beliau kepada pemberita, di sini hari ini.

Najib berkata, pemandu teksi itu membuat laporan polis pada hari berikutnya.

"Sehubungan itu, polis sedang mengesan seorang lelaki Gruduv Singh V Lachumanan yang beralamat terakhir di Bandar Sri Pengkalan, Pusing, bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis juga mendapati terdapat tujuh kes sedemikian dalam tempoh sebulan lalu.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kes berkenaan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Shamsiah di talian 05-3664322 atau terus menghubungi 019-4718706. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain