suria

PGM Tawau Gagalkan Cubaan Seludup Barang Kawalan

TAWAU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Tawau di sini berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar pelbagai jenis barangan kawalan ke negara jiran lewat petang semalam.

Pegawai Pemerintah PGM Tawau, Deputi Supritendan Husaini Zainal Abidin berkata, 410 kilogram minyak masak berjaya dirampas dari sebuah feri penumpang ketika pasukan itu membuat rondaan Ops Octopus kira-kira jam 4.30 petang semalam di sekitar perairan Sungai Tongkang.

Turut dirampas dari feri yang dalam perjalanan dari Tawau Ke Nunukan berkenaan ialah 200 kilogram gula pasir, 13 tong gas memasak kosong dan 17 tong gas memasak berisi seberat 14 kilogram.

Menurut Husaini, tiada sebarang tangkapan dibuat kerana tidak seorangpun penumpang di dalam feri yang diperiksa mengaku pemilik kepada barangan seludup itu.

Husaini berkata, barang rampasan yang bernilai RM5,100 itu akan diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain