suria

Pegawai, Pembantu Teknik Telekom Didakwa Terima Suapan

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai dan seorang pembantu teknik Telekom Malaysia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM1,000 daripada seorang pengurus sebuah syarikat kejuruteraan, dua tahun lalu.

A. Majid Wajib, 51, dan Azman Ibrahim, 52, didakwa dengan niat bersama menerima rasuah daripada Kamaruzaman Sahehan, untuk memberi kerja-kerja membekal dan memasang kabel jenis Coaxial dan Cooper bagi projek persidangan video untuk kegunaan Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kelapan (MAPPA) di Putrajaya Convention Centre, Wisma Bapa Malaysia Kuching Sarawak dan Blok A Kompleks Persekutuan Kota Kinabalu, Sabah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lobi menara Telekom Malaysia Berhad, Jalan Pantai Jaya, pada 6.55 petang, 31 Mac 2008, mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan mereka diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 5 April depan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Fadzillah Mohd Osman manakala mereka diwakili peguam Yusman Che Aman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain