suria

Kerajaan Selangor Tidak Berhak Audit Aset YBK

SHAH ALAM: Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor hari ini berkata tidak ada peruntukan dalam Undang-undang Tubuh YBK yang membolehkan kerajaan Selangor mengaudit urusan kewangan badan itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini YBK itu berkata perkara ini jelas terkandung dalam Klausa 16 Undang-undang Tubuh YBK yang turut memperuntukkan bahawa hanya firma akauntan bertauliah yang dilantik Lembaga Pemegang Amanah berhak untuk mengaudit urusan kewangan yayasan itu.

YBK berkata: "Bagaimanapun, kami tidak ada halangan kepada usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk menyenaraikan dan mengaudit harta-harta yang telah diluluskan kepada YBK. Usaha tersebut akan turut mengesahkan kenyataan kami mengenai senarai tanah yang telah diluluskan kepada YBK.

Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Jabatan Audit Negeri telah diarahkan melakukan audit terhadap semua harta milik YBK.

Abdul Khalid berkata YBK juga tidak mengemaskinikan alamat surat menyuratnya dalam soal cukai tanah apabila ada hartanya yang masih menggunakan alamat pejabat Menteri Besar.

Bagaimanapun, YBK berkata hanya tanah di mana ibu pejabat YBK beroperasi di Kelana Jaya masih dialamatkan kepada pejabat Menteri Besar Selangor dan pihaknya sedang menghubungi Pejabat Tanah Petaling untuk menukar ke alamat baru. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain