suria

Bukan Islam: Zulkifli Enggan Berdepan Lembaga Disiplin

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin hari ini menolak untuk berdepan dengan Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tidak mengiktiraf badan yang turut dianggotai individu bukan Islam itu.

Ini kerana, katanya, isu disiplin yang dibangkitkan ialah berkaitan penggunaan kalimah Allah yang boleh mengakibatkan lembaga itu membuat keputusan tidak adil terhadapnya.

Beliau yang keluar dari prosiding itu menegaskan, apa yang lebih menyedihkan ialah majoriti ahli lembaga tersebut terdiri daripada pemimpin Kristian yang terlibat secara langsung dengan isu tersebut.

"Saya telah bersedia untuk jawab semua pertuduhan dan membela diri saya, tetapi saya tidak boleh tunduk dan mengiktiraf panel bukan Islam untuk membicarakan saya dalam hal agama saya. Oleh itu saya keluar," katanya kepada pemberita selepas kira-kira 30 minit panel itu bersidang di sini hari ini.

Empat anggota panel disiplin yang membicarakan kes beliau itu dengan hanya seorang beragama Islam iaitu Syed Kamarulzaman Syed Kaber selaku ketua, manakala dua lagi ialah aktivis Kristian iaitu Goh Keat Peng dan Chew Swee Yoke, serta seorang beragama Hindu iaitu T. Kumar.

Beliau dihadapkan kepada lembaga disiplin parti bagi menjawab isu berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap rakan sekutu dari PAS iaitu Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkaitan isu kalimah Allah.

Zulkifli menegaskan beliau tidak mempertikaikan kewibawaan kesemua anggota panel mahupun bersifat perkauman, namun sewajarnya parti menghormati permintaanya untuk dibicara oleh barisan jawatan kuasa beragama Islam menerusi tiga notis yang telah dihantar sebelum ini.

"Saya memberikan mereka masa untuk menimbangkan tuntutan saya dan mereka meminta masa hingga hari ini. Sementara itu, sekali lagi saya meminta pejabat setiausaha agung supaya mengkaji semula panel yang membicarakan saya supaya dilantik pada kalangan yang beragama Islam," katanya.

Dalam pada itu beliau percaya insiden hari ini adalah rancangan jahat "firaun-firaun kecil" dalam PKR yang sengaja mahu memalukan dan mengaibkan beliau serta Islam dengan sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan beliau dipecat.

"Sekurang-kurangnya kalau nak pecat saya pun, biarlah keadilan itu bukan sahaja dilaksanakan, tetapi dilihat dilaksanakan. Keadilan menuntut saya dibicarakan oleh mereka yang sekufu dengan saya, iaitu mestilah beragama Islam kerana ini membabitkan isu kalimah Allah.

"Saya bersedia bila-bila masa yang bersesuaian untuk berdepan dengan panel baru itu," katanya yang mendesak panel itu dibubarkan dan dilantik dengan kesemuanya Islam.

Sementara itu, ditanya mengapa beliau masih kekal dalam PKR, beliau memberitahu belum berhasrat untuk keluar dari parti berkenaan atas alasan masih mampu bersabar.

"Saya masih bersabar. Saya masih mempunyai keyakinan terhadap pemimpin utama parti... masih boleh sabar lagi," katanya.

Menjawab soalan beliau tidak bersama-sama dengan 12 anggota Parlimen PKR yang bersumpah setia kepada parti semalam, Zulkifli berkata beliau tidak diberitahu mengenainya apatah lagi untuk dijemput.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain