suria

Bapa Haresvarren Dakwa Iri Hati Punca Anak Dibunuh Kejam

PETALING JAYA: Bapa kepada mangsa dera, K. Haresvarren, 18 bulan yang meninggal dunia dipercayai didera, mendakwa kejadian itu mungkin berpunca daripada perasaan iri hati terhadap kebahagiaan keluarganya.

S. Karigalan, 42, berkata ini kerana suspek tidak mempunyai anak selain isteri suspek sering meminta untuk menjaga anaknya itu.

"Saya berharap agar pihak polis dapat menyiasat perkara ini secepat mungkin dan menjatuhkan hukuman yang setimpal ke atas pembunuh anak saya," katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira yang berlaku antara pukul 10 dan 12 tengah malam di Kayu Ara, Damansara itu, Haresvarren meninggal dunia selepas mengalami keretakan pada tulang rusuk selain hatinya pecah serta lebam-lebam di seluruh badan dipercayai akibat didera.

Karigalan yang juga seorang penerbit filem berkata ketika kejadian dia berada di ibu negara kerana terbabit dalam satu penggambaran dan hanya mengetahui perkara itu kira-kira pukul 10 malam selepas dihubungi rakan isterinya. Isterinya, K. Thilagavathy, 23, pula berkata dia keluar membeli barangan keperluan dan anak lelaki mereka itu ditinggalkan bersama isteri suspek yang juga bekas pengasuh Haresvarren.

"Saya menelefon bekas pengasuh saya untuk melihat keadaan anak saya di situ dan saya mengesyaki ada sesuatu yang berlaku selepas pengasuh saya itu tidak menjawab panggilan saya," katanya.

Dia yang curiga sesuatu berlaku ke atas anaknya itu bergegas ke rumah bekas pengasuhnya dan mendapati Haresvarren sudah tidak bermaya sebelum menghantarnya ke klinik berhampiran.

Haresvarren disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam tadi dan polis percaya kanak-kanak malang itu telah dipijak. Ini adalah kejadian kedua melibatkan kematian kanak-kanak akibat didera dalam tempoh seminggu.

Pada Khamis lepas Syafiah Humairah Sahari, 3, maut dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain