suria

Tindakan Angkat Sumpah Anggota PKR Tunjuk Parti Punya Masalah

PUTRAJAYA: Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tindakan 12 anggota Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengangkat sumpah setia kepada parti di Petaling Jaya, Selangor awal hari ini menimbulkan tanda tanya mengenai parti itu terutama apabila beberapa wakil rakyat dalam parti itu bertindak keluar parti baru-baru ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tindakan itu lebih menunjukkan bahawa mereka sebenarnya mempunyai masalah, sehingga terpaksa meminta wakil-wakil rakyat mereka berikrar sedemikian rupa.

"Kenapa perlu mereka buat sebegitu rupa? Mungkin apa yang mereka lakukan rakyat sendiri boleh nilai betapa beratnya keadaan di sana sehingga orang yang setia diminta untuk berikrar. Maknanya yang tak berikrar tu tak setia kepada PKR?" katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca Kabinet di sini hari ini.

Hishammuddin yang turut terkejut dengan pengunduran seorang lagi anggota Parlimen PKR yang bertindak keluar parti hari ini bagaimanapun berkata Barisan Nasional (BN) dan Umno tidak boleh bergantung kepada kelemahan parti pembangkang untuk meraih kepercayaan rakyat.

"Orang ramai di luar sana yang akan menilai kita bukan di atas kelemahan pembangkang tetapi kekuatan BN dan Umno. Jadi adalah satu kewajipan pada kami untuk terus berkhidmat kepada orang ramai," katanya.

Anggota Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, 65, mengumumkan keluar parti itu hari ini dan menjadi anggota Parlimen bebas berkuatkuasa serta-merta.

Mohsin Fadzli merupakan anggota ketiga parti itu bertindak sedemikian dalam tempoh kurang sebulan selepas Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal).

Selain Mohsin Fadzli, Zahrain dan Tan, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin juga meninggalkan parti itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain