suria

Tiga Rumah Hangus, 20 Penghuni Tinggal Sehelai Sepinggang

KOTA BAHARU: Seramai 20 orang dari satu keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila tiga rumah mereka di Kampung Penambang Hilir, dekat sini hangus dalam kebakaran pagi ini.

Kebakaran pada pukul 10 pagi itu dikatakan berpunca daripada kejadian litar pintas di salah sebuah rumah berkenaan.

Salah seorang mangsa, Azman Abdul Karim, 37, berkata ketika kejadian beliau tiada di rumah dan sedang bekerja di Pengkalan Chepa.

"Saya mendapat tahu kejadian ini dari seorang jiran melalui panggilan telefon. Saya bersyukur kerana semua keluarga, termasuk lima anak dan isteri serta sebuah kereta milik saya terselamat," katanya.

Beliau berkata abang iparnya yang menghidap penyakit lumpuh sejak beberapa tahun lalu, turut selamat kerana sempat menyelamatkan diri ketika api mula marak.

Timbalan Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Shahril Yusma Yusoff berkata tiga jentera bomba dari balai Kota Bharu, Kota Darulnaim dan Pengkalan Chepa bersama 20 anggota berjaya mengawal api dari merebak ke bangunan berhampiran dalam masa setengah jam.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kijang, Wan Ubaidah Omar berkata kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan kilat sebanyak RM500 di bawah Tabung Serambi Makkah selain bantuan peribadi bagi pihak wakil rakyat kawasan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain