suria

Polis Tahan 26 Orang Termasuk Pemilik Rumah Terbabit Dalam Judi

SHAH ALAM: Polis menahan 26 orang yang disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam satu serbuan di sebuah rumah teres satu tingkat di Kampung Baru Jenjarom, Kuala Langat, kira-kira 50 km dari sini semalam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Omar Mammah berkata kesemua mereka termasuk pemilik rumah yang menjadikan kediamannya sebagai pusat perjudian, ditahan pada pukul 11.30 malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Negeri Selangor, hasil maklumat orang ramai.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 17 lelaki dan sembilan wanita yang kesemuanya berumur antara 20 dan 50 tahun," katanya dalam satu persidangan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas sejumlah wang tunai, daun terup serta kepingan "chips" yang digunakan sebagai alat permainan judi, yang kesemuanya bernilai kira-kira RM19,015.

Omar berkata 25 daripada mereka akan dituduh hadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, manakala pemilik rumah itu akan disiasat mengikut Seksyen 4(1b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata polis percaya rumah teres itu beroperasi sebagai pusat perjudian sejak sebulan lalu.

Sementara itu dalam kes berasingan, Omar berkata polis memberkas dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam lebih 10 kes samun sekitar Selangor termasuk yang terbaru di Sungai Buaya, Kuala Kubu Bharu pada 27 Februari lepas.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang juga adik-beradik berumur sekitar 30-an dan 40-an, ditahan di Gombak sejak dua hari lepas.

Dalam kejadian di Sungai Buaya itu, Omar berkata suspek dipercayai melarikan rantai emas milik seorang warga emas selepas menikam suaminya yang kemudian meninggal dunia akibat banyak kehilangan darah.

"Kami juga merampas pisau yang dipercayai digunakan untuk membunuh lelaki itu dan menemui semula rantai yang disamun di sebuah kedai pajak gadai di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain