suria

Polis Minta Ahli Politik Di Pulau Pinang Beri Kerjasama

PULAU PINANG: Polis Pulau Pinang yang menerima 19 laporan berunsur fitnah yang mengaitkan ahli politik di negeri itu, meminta supaya ahli politik berkenaan memberi kerjasama untuk disiasat.

Laporan itu diterima dari Januari hingga Mac lalu. Polis bagaimanapun enggan memberi butiran mengenai kes-kes berkenaan.

"Ahli politik yang terbabit tidak perlu takut untuk diambil keterangan," kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob hari ini.

Beliau memberi jaminan bahawa sesi soal-jawab yang diadakan tidak mengambil masa terlalu lama.

"Polis gagal menjalankan siasatan dengan cepat berhubung kes-kes ini ekoran keengganan beberapa pihak memberi keterangan yang lengkap. Mereka sebaliknya mendakwa pihak kami tidak menjalankan kerja dengan profesional," katanya kepada pemberita. Ayub berkata Ketua Menteri, Lim Guan Eng sendiri telah memberi keterangan.

"Beliau telah beberapa kali hadir untuk beri keterangan dan tiada apa-apa masalah pun.

"Jika semua pihak dapat beri kerjasama, ini boleh mempercepatkan siasatan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain