suria

Polis Buru Dua Lelaki Menyamar Pegawai Kerajaan

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu kini sedang memburu dua lelaki kerana dipercayai menyamar sebagai Pegawai Daerah, Pegawai Pembangunan Universiti, Pengetua sekolah dan Yang Dipertua Majlis Daerah dengan meminta sejumlah wang daripada beberapa kontraktor di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Supt Azmi Adam berkata identiti kedua-dua lelaki yang berusia lingkungan 30an terbabit telah dikenalpasti melalui rekod rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik sebuah bank di Arau, Perlis.

"Suspek dikesan telah menyamar dan menghubungi beberapa kontraktor menerusi telefon untuk meminta wang antara RM5,000 dengan mendakwa mengalami masalah kewangan dan meminta mereka memasukkan wang itu dalam sebuah akaun.

"Bagaimanapun perkara itu terbongkar apabila mangsa menghubungi sendiri pegawai daerah berkenaan dan menafikan beliau ada membuat panggilan untuk meminta wang tersebut," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Azmi berkata pihaknya telah menerima 14 laporan berhubung kejadian tersebut dalam tempoh tiga bulan bermula Disember lepas dengan melibatkan kerugian sebanyak RM30,000.

Beliau berkata kesemua mangsa memasukkan wang ke dalam nombor akaun yang sama setelah menerima panggilan dari dua lelaki berkenaan menerusi talian telefon yang sama.

"Daripada siasatan yang dijalankan, dua lelaki itu membuka akaun menggunakan identiti orang lain. Akaun tersebut dibuka di sebuah bank di Arau, pada penghujung tahun lepas dengan tujuan untuk menipu mangsa," katanya.

Azmi berkata pihaknya juga telah mengadakan siasatan ke atas pemilik akaun terbabit dan mendapati ia telah digunakan oleh dua lelaki berkenaan.

"Bagaimanapun, kita telah menasihatkan bank dan tuan punya akaun sebenar supaya segera menyelesaikannya termasuk membekukan akaun tersebut," katanya.

Katanya, bagi kesalahan itu suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau tidak lebih 10 tahun dan boleh disebat serta didenda. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain