suria

Permohonan Anwar Batalkan Saman KPN Didengar 11 Mei

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Mei untuk mendengar permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman difailkan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkaitan siasatan insiden "mata lebam" 1998.

Peguam yang mewakili Anwar, S.N.Nair, memberitahu pemberita permohonan itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sandosham Abraham.

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tengku Amalin 'A-Ishah Putri Sultan Ismail Petra.

Peguam Lim Kon Keen hadir bagi mewakili Musa.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu bulan lepas.

Anwar membuat laporan di ibu pejabat polis kontinjen Selangor pada 1 Julai, 2008, mendakwa Musa dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah mereka-reka keterangan dan menyembunyikan beberapa fakta dalam penyiasatan serangan fizikal terhadapnya oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998.

Musa, dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan pada 21 Julai, 2008, berkata dakwaan itu tidak berasas dan tidak benar dan telah mencemarkan maruah peribadi, imej, kehormatan dan nama baiknya dan juga kapasiti profesionalnya.

Beliau menafikan mengambil bahagian dalam konspirasi untuk mereka-reka keterangan dan menyembunyikan fakta berkaitan serangan itu.

Katanya beliau juga tidak pernah menyalahgunakan kuasanya dalam apa cara sekalipun dalam penyiasatan kes rasuah dan liwat Anwar.

Beliau berkata Anwar berniat jahat apabila membuat laporan polis terhadapnya dan Abdul Gani dan berbuat demikian kerana ketua pembangkang itu sedang menghadapi pertuduhan baru liwat.

Musa menuntut ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk, faedah lapan peratus, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Amaun yang dituntut tidak dinyatakan secara spesifik dalam pernyataan tuntutan itu.

Beliau juga memohon injunksi untuk menghalang Anwar daripada mengulangi kenyataan memfitnah itu.

Anwar, dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 24 Oktober, 2008, berkata laporan polis itu dibuat bagi mendapatkan pembelaan dan justifikasi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain