suria

Melaka Perkenal Pengangkutan Trem Bernilai RM272 Juta

MELAKA: Negeri Bersejarah Melaka akan memperkenalkan sistem pengangkutan trem bernilai RM272 yang bermula di Plaza Tol Ayer Keroh melalui 23 lokasi ke Bandar Hilir sejauh 40 kilomter.

Pelaksanaan projek usahasama kerajaan negeri Melaka menerusi Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) dan MRails International Sdn Bhd (MRails) itu dijangka bermula pada 1 Mei ini dan dijangka siap serta beroperasi pada Mei atau Jun tahun depan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata projek yang masih menunggu kelulusan Kementerian Pengangkutan itu akan menggunakan kuasa gas asli untuk kenderaan (NGV), yang pertama kali diperkenalkan di dunia dengan kelajuan antara 60 hingga 80 km sejam.

"Pembinaan sistem trem ini adalah selaras dengan status Melaka Maju 2010 dan menambah baik sistem pengangkutan awam di Melaka yang sesak terutama pada hujung minggu," katanya kepada pemberita selepas satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara CMI dan MRails di bilik mesyuarat Exco di Seri Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Penaung MRails, Tengku Muda Pahang Tengku Abd Rahman ibni Sultan Ahmad Shah, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Omar Kaseh, Presiden MRails Datuk Jeya Kumar dan Ketua Pegawai Eksekutif MRails Datuk Mohamed Shamsherudin Mohd Shariff.

Menerusi MoU itu, CMI mempunyai kepentingan 20 peratus manakala selebihnya MRails yang mempunyai modal berbayar RM1 juta dan pembiayaan projek menerusi initiatif pembiayaan swasta (PFI).

Trem yang mempunyai keupayaan 40 koc dalam satu-satu masa dengan maksimum 40 buah koc dan 6,000 penumpang dan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan trem disasarkan sebanyak 250,000 penumpang sebulan.

Mohd Ali berkata kadar tambang yang dikenakan ialah RM2 bagi satu perjalanan manakala bagi warga emas berusia 55 tahun ke atas dan murid-murid sekolah yang beruniform adalah percuma.

Antara destinasi laluan trem ialah Hotel Seri Malaysia, Taman Botanikal, Zoo Melaka, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Taman Muzaffar Shah, Hospital Pantai, Masjid Al-Azim, Hospital Melaka, Hotel Renaissance, Dataran Pahlawan, Hotel Mahkota, Kelab Harbour, Hotel Equitorial dan Bukit Baru.

Depoh atau stesen utama Trem akan bermula di Plaza Tol Ayer Keroh di kawasan seluas 20 hektar yang akan dibangunkan kemudahan untuk meletakkan kenderaan.

Selain itu, Jeya berkata trem yang beroperasi menggunakan satu landasan itu akan dilengkapi sistem pendingin hawa dan model koc pertama akan dibawa dari negara China.

Beliau berkata Mrails mempunyai usahasama dengan CNR Tangshan Railway Vehicle Co Ltd (China), pengilang terbesar bagi pengangkutan rel, di negara itu.

Pembinaan koc selebihnya pula akan dilakukan di Tanjung Agas, Pahang termasuk dengan kemudahan alat ganti.

Trem itu dijangka beroperasi bermula pukul lima pagi hingga tengah malam dengan kekerapan antara tiga hingga lima minit pada waktu puncak.

"Orang ramai di negeri ini dan para pelancong akan mendapat kemudahan terbaik menerusi sistem pengangkutan trem ini yang menggunakan teknologi hijau serta mesra penumpang," katanya.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain