suria

Lelaki Malaysia Dipenjara Di Australia Tidak Akan Ditahan Di Negara Ini - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata lelaki rakyat Malaysia yang dipenjara di Australia atas kesalahan membunuh tidak akan ditahan oleh polis Malaysia apabila tiba di negara ini, dijangka malam ini.

Beliau berkata tiada sebab untuk pihak berkuasa negara ini menahan Phillip Lim Choon Tee melainkan dia ada melakukan jenayah di negara ini kerana dia telahpun menjalani hukuman penjara bagi jenayah tersebut.

"Dia telah menjalani hukuman di Australia, dia akan pulang dan saya percaya pihak berkuasa tiada sebab untuk menahannya melainkan jika pihak berkuasa mendapati di bawah undang-undang perlu menahannya lebih lanjut.

"Kecuali ada jenayah baru yang dilakukannya, saya tidak fikir pihak berkuasa boleh berbuat apa-apa," katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai laporan media Australia bahawa Lim akan ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia setibanya di negara ini.

Lim, 50, disabitkan kesalahan membunuh pakar bedah jantung Dr Victor Chang pada 1991 dan dipenjarakan untuk tempoh maksimum 24 tahun, namun pihak Berkuasa Parol New South Wales (NSW) tahun lepas memutuskan Lim perlu dibebaskan selepas tempoh penjara minimum 18 tahun berakhir pada 11 November.

Bagaimanapun ekoran bantahan awam, kerajaan negeri NSW campur tangan dan pihak berkuasa membatalkan keputusan awal itu, namun Lim berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Agung yang menyatakan tindakan itu tidak sah dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor malam ini.

Hishammuddin berkata walaupun kerajaan risau dengan segala jenis ancaman kepada keselamatan negara dan rakyat, namun seorang pembunuh yang telah dihukum mungkin telah menyedari kesalahannya dan mungkin lebih selamat daripada orang lain yang mungkin akan membuat cubaan membunuh pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata satu mesyuarat akan diadakan Jumaat ini bagi menyelaraskan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengurangkan kadar jenayah terutama jenayah jalanan oleh pelbagai pihak termasuk kementerian lain, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

Beliau berkata semua CCTV yang diletakkan di lokasi strategik di seluruh negara, sama ada oleh pihak swasta atau kerajaan mempunyai beberapa tujuan, termasuk untuk mengawal trafik dan keselamatan premis perniagaan masing-masing, justeru penggunaan CCTV perlu diselaraskan.

"Saya rasa tidak ada sebab ianya tidak boleh dilakukan cuma kita kena kerjasama dan pastikan apa yang kita lakukan tak bertindih dan bantu-membantu untuk mengecapi tujuan sama," katanya.

Hishammuddin berkata kementerian juga akan memberikan taklimat mengenai warganegara asing kepada menteri-menteri yang berkepentingan minggu depan, terutama mengenai isu keselamatan negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain