suria

Laporan Bumbung Stadium Runtuh Dijangka Diumum Minggu Depan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu akan mengumumkan laporan kertas siasatan berhubung kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) runtuh, minggu depan jika mendapat persetujuan anggota Exco.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan negeri telah menerima laporan itu melalui pegawai undang-undang negeri yang telah mendapat pengesahan daripada kementerian yang berkaitan.

"(Dalam) mesyuarat Exco minggu depan kita akan bincang mengenai perkara itu. Kalau Exco bersetuju laporan itu dibentangkan, kita akan berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.

SSMZA siap dibina untuk kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) pada 31 Mei 2008, tetapi bumbung utama stadium itu roboh pada pagi 2 Jun lepas setelah setahun siap dibina. Sehingga ini, kerosakan di stadium berharga kira-kira RM292 juta itu masih belum dibaiki.

Ahmad berkata, kerajaan negeri perlu meneliti pandangan dan nasihat daripada pegawai undang-undang negeri dan mereka yang terlibat terlebih dahulu sebelum laporan itu diumumkan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain