suria

Dua Maut Apabila Tangki Minyak Kapal Meletup Di Perairan Kukup

JOHOR BAHARU: Dua pekerja kapal maut apabila sebuah tangki minyak di atas kapal MT Hercules meletup di perairan Kukup, kira-kira tiga batu nautika dari selatan Pulau Kukup semalam.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Sylvester Keterim, 24, berasal dari Tamparuli, Sabah dan Shezi Chang Shiah Joo, 22, dari Sandakan.

Menurut Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Hassan Jusoh, kedua-duanya sedang melakukan kerja-kerja kimpalan pada salah satu tangki minyak di atas kapal itu apabila tangki berkenaan tiba-tiba meletup dan terbakar.

"Kedua-dua mayat berjaya dibawa keluar dari dalam kapal kira-kira pukul 10.15 malam sebelum diserah kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Pontian bagi melakukan bedah siasat," katanya.

Beliau berkata terdapat 24 anak kapal dan 20 pekerja kontrak yang terdiri daripada warga Malaysia, Indonesia, Filipina dan India di atas kapal berkenaan semasa kejadian.

Che Hassan berkata maklumat mengenai kebakaran di atas kapal yang berdaftar di Pelabuhan Klang itu diterima kira-kira pukul 9.05 malam.

"Hasil maklumat tersebut, bot KM Bidong dan bot Kilat 12 diarahkan ke lokasi kejadian di samping meminta bantuan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Gerakan Marin serta Jabatan Laut," katanya.

Che Hassan berkata kebakaran dapat dipadamkan dengan bantuan anak-anak kapal.

Beliau berkata punca sebenar kejadian sedang disiasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain