suria

Umno Ampang Buat Laporan Polis Kenyataan Hina Kematian Haslinda

KUALA LUMPUR: Umno Bahagian Ampang hari ini membuat laporan polis mengenai kenyataan berbentuk penghinaan dalam laman web sosial, Facebook yang dikeluarkan oleh seorang lelaki berkaitan kematian Ketua Puteri bahagian itu, Haslinda Zerain baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Ismail Kijo berpendapat kenyataan yang dikeluarkan oleh lelaki itu biadab dan tidak boleh dimaafkan dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya merasakan kenyataan itu biadab, manusia yang tidak bertamadun telah menghina seorang ketua Puteri yang telah banyak berjuang dalam parti dan telah kembali ke rahmahtullah dan beliau sendiri tidak berkemampuan untuk meminta maaf," katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Katanya, beliau tidak mengenali lelaki tersebut dan lelaki itu mendakwa adalah ahli PAS dan berasal dari Pasir Tumboh, Kelantan.

Sementara itu, pemangku Ketua Puteri bahagian itu, Salwa Yunus berkata, beliau menerima panggilan pada Sabtu lalu daripada seorang wakil Puteri peringkat negeri memaklumkan mengenai perkara itu.

"Saya yang meragui perkara itu telah cuba menyemak komen tersebut pada pagi ini namun telah dipadamkan oleh lelaki terbabit pada Ahad lalu kerana mendapat kecaman hebat daripada orang ramai," katanya.

Haslinda, 37, meninggal dunia pada Rabu lalu akibat sakit jantung dan beliau telah menjadi Ketua Puteri Umno Bahagian Ampang sejak penubuhannya pada tahun 2001.

Haslinda pernah bertanding di atas tiket BN pada pilihan raya umum pada 2008 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa namun kalah kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain