suria

PKR Amal Politik Kebudak-Budakan - Mohammad Fairus

KUALA LUMPUR: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat(PKR) sekarang mengamalkan politik kebudak-budakan kerana gemar menyerang peribadi ahli dan bekas pemimpinnya yang mengisytiharkan keluar parti.

Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin mendakwa, dalam keadaan politiking parti-parti lain semakin matang dalam mendekati rakyat, PKR sebaliknya kian terkebelakang dalam soal itu.

"Saya kata demikian kerana dalam akhbar telah ada serangan-serangan peribadi ke atas saya.

"Termasuk juga tuduhan oleh Timbalan Presiden PKR, Senator Dr Syed Husin Ali yang kononnya saya minta melunaskan hutang untuk dua buah kereta mewah saya dan membayar RM15,000 sebulan buat selama-lamanya.

"Bagi saya beliau tidak ada krediliti langsung sedangkan beliau tahu hal yang sebenarnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu, Mohd Fairus menerima sijil keahlian Umno daripada Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab. Raof Yusoh.

Beliau mengulas serangan-serangan peribadi ke atasnya selepas mengisytiharkan dirinya menganggotai Umno sebaik keluar dari PKR kelmarin.

Berikutan itu beberapa pemimpin dan ahli PKR bertindak menyerang peribadinya termasuk oleh Syed Husin yang mendakwa Mohammad Fairus merupakan bebanan dan tindakannya keluar parti amat dialu-alukan.

Syed Husin turut mendakwa, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti juga menuntut supaya parti melunaskan hutang untuk dua buah kereta mewahnya dan membayar beliau RM15,000 sebulan buat selama-lama yang ditentukannya.

Dalam pada itu, Mohammad Fairus memberi amaran supaya parti pembangkang berhenti menyerang peribadinya.

Jika serangan seperti itu terus dilakukan, beliau tekad akan mendedahkan satu persatu kepincangan pembangkang terutamanya dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Jangan jolok sarang tebuan, semakin saya ditekan saya akan bangkit sebagai juara," tegasnya.

Beliau berkata, bukan amalannya untuk mendedahkan keburukan musuh politiknya kerana itu bukan amalannya sebagai ahli politik.

Beliau juga berasa hairan dengan tindakan pemimpin dan individu tertentu yang menyerang peribadinya sedangkan selama ini beliau tidak pernah mendedahkan apa-apa keburukan dalam parti.

"Selama setahun saya berdiam diri, tetapi ada juga yag sengaja mencari pasal dengan saya. Jangan sampai saya dedahkan semuanya sebabkan rahsia Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam poket saya," jelasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain