suria

Mansor Jangka Lima Anggota PKR Keluar Parti Tidak Lama Lagi

PULAU PINANG: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mansor Othman menjangka sekurang-kurangnya lima lagi anggota termasuk wakil rakyat akan keluar parti itu tidak lama lagi.

Tanpa menyebut anggota parti dari negeri tertentu, Mansor yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, terdapat sebilangan anggota PKR yang tidak berpuas hati dan tidak menunjukkan prestasi di dalam parti itu dijangka berbuat demikian beberapa minggu lagi. "Saya nampak ada kira-kira lima anggota parti termasuk wakil rakyat akan keluar parti tidak lama lagi," katanya kepada pemberita semasa Ketua Menteri Lim Guan Eng dan anggota Exco negeri yang lain melawat mangsa kebakaran di Kampung Sungai Nibong Tengah di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Penanti Mohammad Fairus Khairuddin dan Anggota Parlimen Nibong Tebal dari PKR Tan Tee Beng, keluar parti itu.

Mansor juga meminta anggota parti yang kecewa supaya meninggalkan parti itu daripada mengeluarkan kenyataan negatif terhadap parti itu.

"Kami tidak bimbang dengan anggota yang meninggalkan parti kerana kami menerima permohonan kira-kira 30,000 orang untuk menyertai parti setiap tahun," katanya - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain