suria

Lebih 20 Ribu Keping DVD Cetak Rompak Benilai RM200,000 Dirampas

KUALA LUMPUR: Lebih 20,000 keping cakera padat video digital (DVD) cetak rompak yang dianggarkan bernilai RM200,000 dirampas di sebuah rumah teres di Taman Naga Emas, Salak Selatan di sini dalam satu serbuan semalam.

Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota serta pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kira-kira pukul 3.45 petang itu dibuat selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kuala Lumpur Osman Nawang ketika dihubungi hari ini berkata pihaknya menemui kesemua DVD cetak rompak dari jenis permainan video itu di dalam lima buah bilik rumah teres dua tingkat berkenaan.

"Siasatan awal mendapati rumah itu telah digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan DVD cetak rompak sebelum ia dipasarkan.

"Kita percaya, kesemua DVD itu diedarkan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang berdasarkan beberapa dokumen yang ditemui di rumah berkenaan," katanya.

Osman berkata tiada tangkapan dibuat ekoran penghuni rumah terbabit berjaya melarikan diri sebelum serbuan.

"Identiti suspek yang dapat meloloskan diri semasa serbuan akan dikesan melalui nombor pendaftaran sebuah kereta dan motorsikal yang ditinggalkan di perkarangan rumah itu," katanya.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati sindiket itu telah bergiat aktif dalam pengedaran DVD haram sejak setahun lalu. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain