suria

Keluar PKR Kerana Marah Tak Dapat Jawatan RM50,000 Sebulan?

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Dr Syed Husin Ali mendakwa, bekas Setiausaha Agung Datuk Salehuddin Hashim bertindak keluar parti mungkin kerana marah tidak dilantik mengetuai Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) dengan permintaan gaji sebanyak RM50,000 sebulan.

Dr Syed Husin juga berkata, andaian bahawa Salehuddin berkhidmat sebagai setiausaha agung secara percuma juga tidak benar kerana hakikatnya beliau dibayar elaun sebanyak RM9,000 sebulan walaupun jumlah elaun yang diminta ialah sebanyak AS$3,000.

"Saya tahu selama ini beliau telah berkhidmat dengan baik namun sikap Salehuddin terhadap parti, sering turun naik.

"Akan tetapi kemarahan beliau memuncak apabila permohonannya untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif KPS, dengan gaji lebih dari RM50,000 sebulan ditolak tidak lama sebelum beliau meletakkan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu beliau juga menolak andaian Salehuddin bahawa terdapat 10 ahli Parlimen parti itu bakal meletakkan jawatan dalam tempoh masa terdekat.

Semalam, Salehuddin meramalkan lebih 10 ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR akan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas secara berperingkat-peringkat.

Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan nama-nama wakil rakyat yang akan keluar PKR.

Salehuddin meletakkan jawatan Setiausaha Agung PKR pada 7 Januari lalu.

Semalam beliau mengumumkan keputusan untuk keluar dari PKR.

"Biarlah Salehuddin dengan ramalannya dan hanya masa yang akan membuktikan sama ada ia terbukti benar atau tidak.

"Namun, dengan maklumat yang ada pada saya, saya percaya ini hanya sebagai tuduhan melulu bersifat perang saraf yang tidak mempunyai asas kukuh," katanya lagi.

Dalam masa yang sama, bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) itu turut mempersoalkan peranan yang dimainkan oleh Salehuddin dalam isu wakil rakyat PKR keluar parti.

"Saya tidak tahu dan tidak ingin tahu apakah peranan yang dimainkan oleh Salehuddin namun beliau menafikan tuduhan sesetengah pihak bahawa beliau lah di belakang tindakan Ahli Parlimen yang keluar parti dan saya mempercayainya," ujarnya.

Tambahnya, Salehuddin telah memberikan khidmat baik kepada PKR sepanjang enam tahun iaitu tiga tahun sebagai setiausaha pengelola dan tiga tahun berikutnya sebagai setiausaha agung.

"Ada anggapan kononnya parti mendapat khidmat Salehuddin secara percuma. Saya ingin mendedahkan perkara yang sebenar iaitu Salehuddin bersetuju dibayar RM9,000 sebulan walaupun asalnya beliau meminta AS$3,000 sebulan.

"Bayaran ini dibuat bukan oleh parti tetapi oleh salah seorang penyokong (parti),” katanya.

Beliau menambah, orang-ramai menyedari bahawa kesemua ADUN dan Ahli Parlimen yang keluar mempunyai masalah kewangan atau pun disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Namun tidak dinafikan ada juga masalah peribadi dengan pimpinan parti atau kerajaan negeri. Saya sentiasa berpendapat bahawa apabila daki sudah dibersihkan, kulit akan lebih menarik dan badan lebih sihat.

“Kita jangan lupa bahawa dalam sejarah permulaannya PAS, DAP dan bahkan Umno menghadapi masalah presiden, setiausaha agung dan pemimpin lain mereka berhenti. Akhirnya semua parti muncul lebih kuat,” katanya.

Salehuddin, sebelum ini hadir pada dua sidang media yang diadakan oleh Datuk Seri Zahrain Hashim (dua minggu lalu) dan Tan Tee Beng (semalam).

Zahrain dan Tee Beng masing-masing Ahli Parlimen Bayan Baru dan Nibong Tebal di Pulau Pinang telah membuat pengumuman keluar PKR dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas kerana kecewa dengan kepimpinan parti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain