suria

Kelantan Kecewa Bukan Nik Aziz Lepaskan Peserta LTdL 2010

KOTA BHARU: Seorang anggota exco kerajaan Kelantan melahirkan rasa kecewanya dengan penganjur perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) kerana membelakangkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada upacara melepaskan peserta semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood berkata, apa yang berlaku pada majlis pelepasan itu di hadapan Istana Balai Besar pagi tadi adalah sesuatu memalukan.

"Ia tidak menghormati tok guru selaku Menteri Besar dan tuan rumah yang sepatutnya melakukan pelepasan itu," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Majlis pelepasan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia itu memulakan peringkat pertama dari sini ke Kuala Berang sejauh 174.5 kilometer.

Mengulas perkara itu, Abdul Fatah berkata nama Nik Aziz, selaku tetamu kehormat untuk melepaskan peserta, dimaklumkan kepada beliau pada malam tadi.

"Sepatutnya saya dimaklumkan terlebih dahulu jika ada perubahan tetapi ini tidak dan keadaan ini sangat memalukan," katanya. Beliau berkata kerajaan negeri akan mengutus surat kepada pihak penganjur terhadap insiden itu.

LTdL kali ini dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan disertai 20 pasukan.

Perlumbaan melibatkan tujuh peringkat sejauh 1,013.9 kilometer untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai RM710,650. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain