suria

Wakil Kerajaan Dakwa Pengurusan AKSB Lemah

KOTA BHARU: Seorang wakil kerajaan mendakwa pengurusan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) adalah lemah hingga menyebabkan kesusahan kepada pengguna kerana sering mengalami gangguan bekalan air bersih.

Abdul Fatah Haron (PAS-Bukit Tuku) berkata, akibat masalah itu menyebabkan penduduk marah dan kecewa dengan AKSB kerana gagal dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan penyaluran air bersih kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman bagaimanapun bangkit membantah kenyataan Abdul Fatah itu yang disifatkannya adalah tidak tepat.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu hanya 10 peratus Kelantan direkodkan mengalami gangguan bekalan air bersih.

"Gangguan yang dihadapi pengguna adalah tidak menyeluruh dan hanya 10 peratus laporan gangguan sahaja yang diterima dan ini tidak bermakna ia satu kelemahan," kata Mohd Anizam menjawab soalan tambahan Abdul Fatah itu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.

Anizam berkata, kerajaan negeri juga sedang meningkatkan taraf kualiti air secara berterusan terutama mengatasi gangguan bekalan elektrik di loji-loji air utama.

"Gangguan bekalan elektrik ini walaupun sekejap boleh menjejaskan perkhidmatan sekurang-kurangnya dalam tempoh sehari," katanya.

Beliau berkata, pada tahun lalu sebanyak 436 kes paip pecah telah dilaporkan di Kelantan.

Katanya, sebahagian besar paip air di Kelantan telah lama dan ada yang berusia hampir 20 tahun menyebabkan berlakunya air berkarat.

"Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh AKSB telah mencadangkan 13 projek utama menaik taraf bekalan air dilaksanakan," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri masih mengkaji beberapa perkara sebelum bersetuju untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam meningkatkan kualiti air di Kelantan.

Sementara itu, dewan juga diberitahu kenyataan yang menyebut Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan menyusut adalah tidak benar malah mendakwa statistik menunjukkan ia jauh lebih baik berbanding di peringkat Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah berkata, dalam tempoh empat tahun berturut-turut sejak 2006, KDNK Kelantan mencatatkan peningkatan.

"Ini dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri sendiri menunjukkan pada 2006 KDNK negeri sebanyak 5.9 peratus berbanding Pusat 5.8 peratus, 2007 KDNK negeri 7.5 peratus (Pusat 6.2 peratus), 2008 KDNK negeri 5.1 peratus (Pusat 4.6 peratus) dan 2009 negatif 2.6 peratus (Pusat negatif 3 peratus)," katanya menjawab soalan Mohamad Awang (PAS-Gual Periuk).

Beliau berkata, kadar kemiskinan tegar pada tahun lalu hanya mencatatkan 0.6 peratus beranding di peringkat Pusat 0.8 peratus. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain