suria

Suspek Dalam Tahanan Polis Mati Akibat Jangkitan Paru-Paru

TANAH MERAH: Seorang suspek yang ditahan reman kerana dipercayai mencuri alat-alat ganti kenderaan, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Tanah Merah (HTM), di sini, pada hari ini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, DSP Abdul Aziz Mahmud berkata, suspek yang dikenali sebagai Parosmady Ismail, 35, berasal dari Felda Kemahang 1, dekat sini, ditahan Khamis lalu.

"Ketika dalam tahanan suspek menghadapi masalah kesihatan dan terpaksa mengambil ubat-ubatan dari HTM.

"Sepanjang tempoh tahanan, suspek pernah beberapa kali menerima rawatan di HTM antaranya pada 26, 27 Feb dan kali terakhir semalam," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, semalam suspek mengadu sakit dan dihantar ke hospital terbabit kira-kira jam 9.45 pagi untuk menerima rawatan.

"Keadaannya ketika itu amat kritikal dan hasil laporan doktor mengesahkan, suspek mengalami jangkitan kuman dalam paru-paru dan disahkan meninggal di hospital berkenaan pagi tadi," katanya.

Abdul Aziz berkata, hasil siasatan, suspek merupakan seorang penagih yang pernah terlibat dalam beberapa kes kecurian alat-alat ganti kenderaan di daerah ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain