suria

SPA Tidak Amal Diskriminasi Gender Dalam Pengisian Jawatan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tidak mengamalkan diskriminasi gender dalam pengisian setiap jawatan dalam sektor perkhidmatan awam, kata Setiausahanya, Datuk Lamien Sawiyo, hari ini.

Menurutnya SPA tidak pernah membezakan gender pemohon kerana kelayakan dan kriteria pengambilan berpandukan kepada jenis jawatan yang dipohon.

Katanya pengambilan penjawat awam tertakluk kepada kesesuaian dan kelayakan berbeza mengikut kehendak dan keperluan kementerian dan agensi kerajaan.

"Mereka dilantik mengikut kehendak bidang pekerjaan. Misalnya, Jabatan Penjara meminta penjawat wanita untuk Penjara Wanita dan kami menimbang kehendak jabatan dan kementerian yang memohon," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan jersi kepada pasukan bola sepak SPA FC yang bertanding pada Liga FAM musim ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, baru-baru ini, bahawa dominasi penjawat wanita dalam sektor awam kian membimbangkan kerana ia akan memberi impak jangka panjang terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Ahmad Shah mendakwa semakin ramai penjawat wanita kini telah diberi tanggungjawab untuk memikul tugas yang memerlukan mereka membuat sebarang keputusan penting.

Katanya, hampir tiga suku daripada jawatan baru dalam kategori Pegawai Tadbir dan Diplomatic (PTD) telah diisi oleh kaum wanita, sekaligus bertentangan dengan dasar kerajaan yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan 'pembuat keputusan' untuk golongan terbabit.

Kenyataan Ahmad Shah itu turut mendapat maklum balas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berkata pencapaian dan penghasilan mutu kerja adalah perkara yang paling diutamakan oleh kerajaan, bukan persoalan mengenai jantina.

Menurut Najib, bukan sesuatu yang mengejutkan jika kemasukan untuk jawatan PTD pada masa akan datang didominasi oleh wanita jika peningkatan jumlah penuntut wanita di universiti berterusan.

Lamien juga memberitahu dari 490 jawatan PTD yang diperuntukkan, 250 daripadanya diberikan kepada calon lelaki manakala selebihnya diisi oleh calon wanita.

"SPA juga masih menanti maklum balas daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan berhubung anggaran kekosongan jawatan untuk tahun ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain