suria

Mahkamah Tetapkan 14 April Keputusan Status Presiden PPP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 14 April depan keputusan permohonan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengenepikan keputusan Tribunal Timbang Tara Malaysia (Mate) bahawa Senator Datuk T. Murugiah adalah presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) yang sah.

Hakim Datuk Aziah Ali menetapkan tarikh itu selepas bertemu kedua-dua pihak hari ini di dalam kamar.

Hakim memerintahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujah bertulis berhubung perkara itu pada 23 Mac dan 1 April depan.

Pada 24 Dis 2009, ROS memfailkan permohonan mendapatkan perintah mahkamah supaya mengenepikan keputusan Mate bertarikh 11 Disember 2009 bahawa Murugiah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merupakan Presiden PPP yang sah.

ROS menamakan Mate; Presidennya, Datuk Munsyi Muslim Yacob, selaku penimbang tara yang membuat keputusan itu, Prof Madya Datuk Abdul Halim Sidek dan Murugiah selaku responden.

Dalam permohonannya, ROS memohon deklarasi bahawa fungsi tanggungjawab statutori dan bidang kuasa ROS tidak tertakluk kepada tindakan Mate.

ROS juga memohon perintah bahawa rujukan Murugiah kepada Mate adalah penyalahgunaan proses undang-undang, tidak sah dan terbatal.

Pada 28 Disember 2009, Murugiah memfailkan permohonan supaya pengisytiharan Mate bahawa beliau adalah Presiden PPP yang sah, dikuatkuasakan. Tiada tarikh ditetapkan kerana mahkamah harus memberi keputusan permohonan ROS terlebih dahulu.

Peguam A. Vishnu Kumar dan Sreekant Pillai, mewakili Murugiah manakala Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi dan Nadia Hanim Mohd Tajuddin mewakili ROS dan Mate diwakili Mohan Krishnan.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Sreekant berkata, hakim juga menetapkan 23 April depan untuk keputusan berhubung permohonan Presiden PPP Datuk M. Kayveas bertindak selaku pencelah dalam kes berkenaan. Kayveas diwakili Peguam Naran Singh.

Berikutan keputusan Mate itu, pada 30 Dis 2009 Murugiah menarik balik samannya terhadap ROS yang memutuskan pemecatannya oleh PPP adalah sah.

Murugiah dipecat Mei 2009 selepas beliau didakwa menggunakan pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk mengadakan sidang media dan digugurkan atas alasan telah menjejaskan nama baik parti dan membuat kenyataan fitnah terhadap parti, Majlis Tertinggi dan kepimpinan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain