suria

Kerajaan Tetap Iktiraf Tanah NCR

KUCHING: Kerajaan tetap mengiktiraf tanah hak adat bumiputera (NCR) berdasarkan undang-undang sedia ada, kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah merampas hak rakyat sebaliknya mahu membantu masyarakat agar tanah NCR dapat dibangunkan sekaligus menjadi aset yang berguna untuk rakyat di luar bandar keluar daripada cengkaman kemiskinan.

"Kita (kerajaan) mahu tanah NCR dibangunkan sekaligus tidak mahu tanah NCR ini berpindah milik kepada orang yang tidak bertanggungjawab," katanya ketika berucap pada seminar perihal tanah sempena konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-12 di sini hari ini.

Awang Tengah berkata, sejak tahun 1965 ketika Sarawak dilanda krisis pengurusan tanah, kerajaan negeri telah mempertahankan tanah NCR hinggalah ke hari ini untuk mengelak ia jatuh ke tangan pemaju yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, ketika ini di bawah Lembaga Pembangunan Lindungan Tanah (LCDA) kerajaan akan memastikan setiap projek pembangunan tanah NCR mengikut syarat dan peraturan yang telah dipersetujui bersama antara pemaju dan pemilik tanah. Berhubung isu surat hak milik sementara, Awang Tengah berkata, ia dikeluarkan untuk tanah NCR yang akan dimajukan untuk sektor perladangan dan industri.

Beliau berkata, pemilik tanah NCR yang tidak mahu terlibat dalam projek LCDA, khasnya projek penanaman kelapa sawit dan penanaman semula hutan, berhak untuk menarik diri daripada projek itu.

Katanya, pemilik tanah NCR yang terlibat dalam projek di bawah LCDA akan menerima surat hak milik sementara daripada Jabatan Tanah dan Survei berdasarkan kepada pengesahan daripada ketua masyarakat masing-masing.

"Surat ini kita keluarkan hanya untuk tanah NCR yang akan diusahakan untuk sektor peladangan manakala lesen menduduki sementara adalah untuk kediaman di bawah skim pembesaran kampung dan penempatan semula kampung," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain