suria

Tiada Pengecualian Berhubung Siasatan Dakwaan Rasuah Terhadap Nik Aziz

KOTA BAHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan bahawa tiada pengecualian terhadap kes siasatan rasuah ke atas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melibatkan tajaan mengerjakan haji dan isu penyelewengan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Zakaria Jaffar berkata tidak ada pihak yang boleh dianggap "terkecuali" dalam kes seperti ini termasuk Menteri Besar itu dan siasatan dilakukan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Malahan, katanya, siasatan yang dibuat ke atas Nik Abdul berhubung kes rasuah adalah mengikut prosidur biasa undang-undang negara ini, katanya.

"Siasatan kita standard dan siasatan SPRM tidak terikat kepada sesiapa," katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Menyerah Tugas antara Pengarah SPRM Kelantan, Mohd Jaafar Hussin dan Timbalan Pengarah Akademi SPRM, Nasaruddin Mohd Nor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Pergerakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan kepada SPRM di Putrajaya sebelum ini berhubung sebuah blog menyiarkan artikel "SPRM Kelantan Pro-Pas: Siasatan Kes Nik Aziz Terbengkalai".

Ketuanya, Anuar Sapian berkata, pergerakan tersebut membuat laporan itu kerana mahu SPRM menyiasat dakwaan itu kerana SPRM merupakan sebuah badan bebas.

Semalam, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahya berkata, SPRM Kelantan telah selesai menjalankan siasatan kes dakwaan rasuah terhadap Nik Abdul Aziz itu dan kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Zakaria berkata peruntukan undang-undang adalah jelas dan telus tanpa mengira sesiapa dan tindakan akan dibuat berdasarkan kepada fakta-fakta kes yang disiasat oleh pihak siasatan SPRM.

Beliau berkata pihaknya kini menunggu keputusan pendakwa raya sama ada untuk mendakwa atau tidak.

"Sekarang kita tunggu keputusan pihak pendakwa sama ada boleh didakwa atau tidak, (kerana) siasatan kita sudah selesai," kata Zakaria.

Sebelum itu, Jaafar berkata SPRM Kelantan menerima 426 laporan tahun lepas dan sebanyak 24 kes dibuka kertas siasatan manakala sebihnya tiada tindakan lanjut kerana didapati tiada asas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain