suria

Samy Vellu Dapatkan Pandangan Anggota MIC Cadangan Keanggotaan Terus BN

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu mengulangi pendirian bahawa parti itu tidak menentang cadangan sistem keanggotaan terbuka Barisan Nasional (BN) tetapi menegaskan bahawa beliau perlu berbincang untuk mendapatkan pandangan anggota parti mengenai cadangan itu.

Beliau berkata MIC, yang merupakan parti komponen ketiga terbesar, tidak menentang cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 19 Feb.

"Perdana Menteri mahu mengukuhkan BN, dan kami (MIC) akan menyokong usaha beliau itu. Namun, kami perlu mengetahui apakah pandangan dan perasaan anggota berhubung cadangan itu," katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan diploma kepada para penuntut Kolej TAFE di sini pada Ahad.

Najib mencadangkan langkah itu untuk membolehkan individu, badan bukan kerajaan yang cenderung menyokong BN menjadi sebahagian BN bagi mengukuhkan gabungan itu, terutamanya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Samy Vellu berkata sebuah jawatan kecil yang dipengerusikannya akan dibentuk bagi MIC mengkaji cadangan itu.

"Perkara ini akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC untuk kita mendapatkan pandangan kolektif mengenainya. Saya yakin akan wujud perbezaan pendapat dan kami perlu mencapai kata sepakat," katanya.

Beliau berkata pandangan dan cadangan parti kemudiannya akan dikemukakan kepada satu jawatankuasa yang dibentuk Dewan Tertinggi BN dan dipengerusikan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bagi mengkaji cadangan berkenaan.

"Cadangan ini perlu dibincangkan dan dikaji secara teliti oleh setiap parti komponen. Perkara utama ialah mendapatkan maklum balas anggota parti masing-masing. Ini yang akan kami lakukan," katanya.

Samy Vellu berkata pelaksanaan cadangan itu tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa kerana masa diperlukan bagi mendapatkan pandangan dan mengetahui perasaan para anggota parti komponen.

Presiden MIC itu berkata parti itu mengiktiraf peranan NGO, terutamanya yang menggerakkan sokongan rakyat kepada BN.

"MIC telah bekerjasama erat dengan beberapa NGO dan kami juga membentuk majlis-majlis perundingan membabitkan MIC dan NGO di negeri-negeri seperti di Perak dan Johor," katanya.

Samy Vellu berkata MIC juga mendapatkan bantuan NGO unruk membincangkan dan mendapatkan pandangan mereka terhadap beberapa isu membabitkan kaum India seperti Rancangan Malaysia Ke-10.

Menyentuh hal lain, Samy Vellu meminta belia India yang tidak lagi bersekolah dan menganggur untuk mendaftarkan diri mereka dengan beberapa pusat latihan kemahiran yang dikendalikan kerajaan kerana beberapa institusi berkenaan telah melonggarkan syarat kemasukan.

Beliau berkata MIC dengan kerjasama NGO akan mengadakan lebih banyak kempen bagi menggerakkan pendaftaran lebih ramai beliau India di institusi berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain