suria

Pertima Sasar Jadi Hub-Halal Utama Dunia

KUALA TERENGGANU: Pertima Terengganu Sdn Bhd, anak syarikat penuh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu mensasarkan aktiviti pengetinan daging korban sebagai satu hub-halal yang utama di dunia.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata Pertima, yang diwujudkan sejak 1972, bersedia menerima tempahan untuk aktiviti pengetinan dengan jumlah lebih besar pada masa depan apabila kilangnya menerima peruntukan RM3.5 juta tahun ini untuk meningkatkan keupayaannya.

"Kita akan mempelbagaikan pengeluaran kilang ini, sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Pertima sebagai hub-halal yang utama," katanya ketika berucap merasmikan penghantaran produk daging korban Islamic Relief Worldwide di kilang Pertima Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Cendering di sini pada Ahad.

Turut hadir wakil Islamic Relief Worlwide Birmingham, London Dr Adel Sabir dan Pengarah Islamic Relief Worlwide Malaysia Zawahir Abdullah.

Ahmad berkata sebagai sebuah syarikat yang telah lama ditubuhkan, kerajaan yakin Pertima berjaya meletakkan asas perniagaan yang baik untuk terus maju pada masa akan datang.

"Kejayaan Pertima menembusi pasaran terbuka dengan aktiviti dalam kontrak pengetinan pelbagai produk, telah memperlihatkan hasil yang baik dan aktiviti ini perlu diperkukuhkan bagi menjamin kejayaan syarikat pada masa depan seperti menyediakan pusat penyembelihan dan sebagainya," katanya.

Ahmad menyarankan agar Pertima merebut peluang dengan mengeluarkan pelbagai makanan halal dalam tin untuk pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Zawahir berkata sebagai sebuah badan berstatus antarabangsa yang beroperasi hampir 25 tahun di 40 buah negara seluruh dunia, mereka bangga mendapat kerjasama dengan Pertima.

"Kami memilih Pertima bagi menjalankan projek pengetinan daging korban ini berdasarkan pengalaman Pertima lebih 20 tahun sebagai pembekal tunggal kepada semua agensi kerajaan di Malaysia," katanya.

Pada tahun ini Pertima memproses sebanyak 300 tan daging kambing biri-biri korban dengan menghasilkan 285,000 tin yang akan dihantar melalui lapan buah kontena ke negara-negara yang mengalami konflik kemanusiaan seperti di Republik Chad di Afrika dan Lubnan di Timur Tengah.

Sehingga ini tiga badan bukan kerajaan luar negara melaksanakan kontrak pengetinan daging dengan Pertima iaitu Islamic Relief Worldwide dari United Kingdom, Muslim Aid Australia dan Human Appeal International Australia.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain