suria

Daerah Pantai Timur Sabah Pantau Kawasan Pesisir Pantai Dan Pulau

SEMPORNA: Daerah-daerah yang terletak di pantai timur Sabah sedang memantau secara dekat keadaan laut di kawasan pesisir pantai dan pulau-pulau peranginan berikutan ramalan paras laut yang mungkin meningkat dan bergelora menjelang tengahari ini ekoran kejadian gempa bumi di Chile.

Pegawai-pegawai daerah yang juga pengerusi jawatankuasa keselamatan daerah masing-masing ketika dihubungi berkata mereka sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berikutan amaran Jabatan Meteorologi berkenaan.

"Saya sudah menghubungi Ketua Polis Daerah Semporna dan langkah berjaga-berjaga telahpun kita ambil. Semua pengusaha pelancongan di daerah pulau-pulau yang terletak dalam daerah Semporna sudahpun kita maklumkan supaya berjaga-jaga," kata Pegawai Daerah Semporna A.M Ibnu A.K Baba kepada pemberita di sini.

Katanya pengusaha pelancongan telah diingatkan supaya menasihatkan pelancong di kawasan mereka untuk tidak panik kerana langkah-langkah pemindahan telah tersedia sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

"Saya akan sentiasa berhubung dengan polis untuk langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil," katanya.

Beliau juga menasihatkan penduduk di kawasan pantai supaya sentiasa berjaga-jaga manakala nelayan pula dinasihatkan supaya tidak turun ke laut pada petang ini sebagai langkah keselamatan.

Pegawai Daerah Lahad Datu Zulkifli Nasir pula meminta penduduk kawasan pantai supaya sentiasa berjaga-jaga serta merujuk pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung amaran berkenaan.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau Ismail Mayakob pula berkata semua agensi berkaitan di daerah itu sudah diberi arahan supaya bersiap-sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, setakat ini keadaan perairan di Semporna belum menampakkan sebarang tanda-tanda perubahan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain