suria

Bomba Sahkan Kebakaran Tokong Berpunca Daripada Api Colok

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu hari ini mengesahkan kejadian kebakaran yang berlaku di sebuah tokong yang berusia lebih 200 pada malam Isnin lepas berpunca daripada api colok yang jatuh di dalam tokong berkenaan. Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu Pauzan Ahmad berkata, hasil siasatan yang dibuat selepas kejadian itu mendapati ia berpunca daripada colok yang jatuh ke lantai dan bergolek lalu terkena kain yang menjadi alas sebuah patung di dalam tokong itu.

"Kita dapati bentuk kebakaran dan arah pergerakan api itu berpunca daripada api colok yang jatuh dan terkena kain alas patung di dalam tokong itu," katanya kepada pemberita yang ditemui semasa lawatan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said ke tokong itu petang ini.

Sementara itu, Ahmad meminta orang ramai tidak membuat sebarang andaian yang negatif mengenai kejadian itu.

"Kenyataan yang dibuat oleh Jabatan Bomba jelas menunjukkan kebakaran berpunca daripada api colok di dalam tokong berkenaan," katanya.

Tokong Ho Ann Kiong yang berusia lebih 200 tahun terletak di Kampung Cina di sini terbakar malam Isnin lepas mengakibatkan 60 peratus daripada tokong itu hangus dalam kejadian yang berlaku pada pukul 9.30 malam itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain