suria

Surat Lantikan Wakil Negeri Ke Jawatankuasa Wang Ihsan Dua Minggu Lagi

PASIR PUTEH: Surat perlantikan dua orang wakil dari kerajaan negeri Kelantan untuk menduduki jawatankuasa pengagihan wang ihsan akan dihantar kepada mereka selewat-lewatnya dalam masa dua minggu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan yang baru dilantik oleh Kabinet Rabu lepas Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan bulan depan tanpa mengira sekiranya kedua-dua wakil itu menerima atau menolak perlantikan itu.

"Kami jangka pengagihan wang itu akan dapat diselesaikan pada bulan April," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Juara Kebajikan Rakyat Umno Bahagian Pasir Puteh di sini, hari ini.

Seramai 1,392 fakir miskin termasuk orang kurang upaya masing-masing menerima bantuan RM300 sebulan di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan pada majlis itu.

Dr Awang yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata lain-lain anggota jawatankuasa itu termasuk Petronas dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), selain jabatan-jabatan yang berkaitan dengannya yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.

Khamis lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Kerajaan Pusat tetap mahu memberi wang ihsan kepada Kelantan kerana yakin ada rakyatnya yang mahu menerima pemberian berkenaan dan pihaknya akan memastikan bantuan itu dibuat secara telus kepada golongan yang layak menerimanya.

Agihan wang ihsan RM20 juta itu dijangka akan disampaikan kepada rakyat Kelantan pada bulan April nanti.

Sementara itu berucap pada majlis hari ini Dr Awang berkata kerajaan pusat menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan meluluskan peruntukan terbesar berjumlah RM62 juta pada tahun lepas untuk membantu rakyat miskin dari Kelantan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain