suria

Raja Muda Perlis Mahu Budaya Kreatif Dan Inovatif Dipupuk

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu supaya budaya kreatif dan inovatif dipupuk di kalangan anggota perkhidmatan awam bagi memastikan sistem penyampaian menjadi lebih mantap dan berkesan.

Titah baginda pembentukan sebuah negara yang maju perlu melalui proses transformasi di dalam kehidupan seharian dengan sikap kreatif dan inovatif kepimpinan, anggota pentadbiran dan rakyatnya.

"Inovasi merupakan nadi dan senjata yang paling berkesan untuk terus berdaya saing dan menjana kekayaan serta mengekalkan kesejahteraan rakyat," titah baginda semasa merasmikan Karnival Malaysia Inovatif 2010 Zon Utara di sini hari ini.

Titah baginda, sebarang bentuk halangan dan kekangan dalam usaha membudayakan kreativiti dan inovasi seperti sikap pemalas, keenganan untuk berubah perlu dihindari agar dapat melahirkan modal insan yang berkeupayaan inovasi dalam menepati keperluan pasaran.

Karnival itu adalah yang pertama daripada lima siri karnival yang dirancang di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Sebanyak 16 jabatan dan agensi serta sektor swasta menyertai karnival selama dua hari itu, dan yang turut hadir pada majlis hari ini ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Maximus Johnity Ongkili. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain