suria

Nansian Diminta Dedah Nama Tokoh Yang Halang Penggabungan SPDPPRS

MIRI: Naib presiden kanan Parti Progresif Demokratik Rakyat Sarawak (SPDP) Datuk Peter Nansian diminta menamakan tokoh SPDP yang menjadi batu penghalang kepada usaha penggabungan parti itu dengan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Bendahari agung SPDP Datuk Seri Tiong King Sing berkata kumpulan yang menentang presiden parti Datuk Seri William Mawan Ikom perlu berani menyatakan dengan khusus sesiapa sahaja daripada membuat kenyataan yang hanya boleh mencetuskan spekulasi.

"Saya meminta Nansian serta mereka yang bersamanya supaya segera menghentikan komen seperti itu yang memandang rendah kepintaran majoriti ahli parti," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Nansian baru-baru-baru ini bahawa Mawan dan timbalannya Datuk Peter Nyarok dikuasai oleh tokoh tertentu dalam SPDP yang menyebabkan mereka tidak mampu bertindak dalam proses penggabungan itu.

Nansian juga didakwa sebagai berkata presiden PRS Datuk Seri Dr James Jemut Masing juga mengetahui tokoh yang dimaksudkannya itu.

SPDP dan PRS, dua daripada empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak, telah membincangkan rancangan penggabungan sejak lima tahun lepas tetapi isu itu timbul semula minggu lepas selepas Nansian bersama empat lagi perwakilan SPDP yang dilantik mahu rancangan itu dilaksanakan dengan segera.

Perwakilan yang dilantik bersama Nansian adalah wakil rakyat Marudi, Sylvester Entrie Muran, wakil rakyat Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, wakil rakyat Bekenu, Rosey Yunus dan Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe.

Isu penggabungan itu timbul sebulan selepas lima perwakilan itu keluar daripada mesyuarat jawatankuasa eksekutif SPDP Januari lalu berikutan keputusan Mawan melantik setiausaha agung baru, Nelson Balang Rining, wakil rakyat Ba' Kelalan, bagi menggantikan Sylvester Entrie. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain