suria

Malaysia Akan Bincang Hubungan Dua Hala Dengan Empat Negara Asean

PUTRAJAYA: Malaysia mengambil kesempatan daripada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-16 yang bermula hari ini, untuk mengadakan perbincangan dua hala dengan empat negara Asean bagi memantapkan hubungan perdagangan dengan negara-negara berkenaan.

"Kita akan mengambil peluang Sidang Tidak Rasmi AEM untuk mengadakan perbincangan dua hala dengan Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed pada sidang akhbar dengan media Malaysia di sini hari ini.

Perbincangan-perbincangan tersebut diadakan hari ini dan juga esok, kata beliau yang juga sibuk melayan media asing yang mahu menemu bual beliau.

Beliau berkata bagi mesyuarat tidak rasmi itu, Malaysia hanya menjadi hos sahaja dan menyediakan kemudahan fizikal kerana semua mesyuarat Asean tahun ini akan dipengerusikan oleh Vietnam yang mengambil alih sebagai Pengerusi Asean dari Thailand pada tahun ini.

Vietnam juga akan menjadi hos kepada dua sidang Kemuncak Asean yang dijangka diadakan pada April dan Oktober ini, kata Mustapa.

Mesyuarat Tidak Rasmi AEM dianjurkan setiap tahun bagi membolehkan menteri-menteri dari kesemua 10 negara anggota bertukar pendapat dan membincangkan mengenai isu-isu strategik berkaitan integrasi ekonomi serantau serta hubungan ekonomi Asean dengan rakan-rakan dialog.

Antara topik utama yang akan dibincangkan pada mesyuarat tidak rasmi tahunan kali ini ialah strategi bagi hala tuju Asean untuk beberapa tahun akan datang dan juga selepas pelaksanaan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) pada 2015.

Pada mesyuarat tidak rasmi itu juga, Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan akan membentangkan laporan kemajuan AEC.

Laporan kemajuan AEC merupakan instrumen yang digunakan untuk mengikuti perkembangan pelaksanaan langkah AEC dalam semua bidang termasuk liberalisasi intra Asean bagi barangan, perkhidmatan, pelaburan, makanan, usaha dalam penyelarasan standard dan persidangan, aktiviti kerjasama dalam dasar persaingan, hak harta intelek (IPR), kepenggunaan kepada hubungan luar Asean iaitu perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara ketiga. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain