suria

Lelaki Maut Kereta Yang Dipandu Bertembung Van Anak Saudara

IPOH: Seorang lelaki terbunuh apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan van yang dipandu anak saudaranya dalam kejadian kemalangan di Jalan Ipoh-Lumut dekat Kledang Utara di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian kira-kira jam 8.55 malam tadi dikenali sebagai Chow Yat Meng, 41, berasal dari Kampung Pisang, Pusing.

Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.

Azisman berkata pemandu van, Chow Hon Win, 19, berasal dari Taman Pinggiran Saujana, Batu Gajah, yang mengalami cedera parah di kepala dan seorang lagi penumpang van, Fong Wai Heng, 22, berasal dari Taman Seri Wangsa, Batu Gajah juga mengalami kecederaan di kepala dan dirawat di hospital tersebut.

Kejadian berlaku apabila van jenis Perodua Rusa yang dipandu Fong dipercayai cuba memotong sebuah kereta di hadapannya tetapi gagal lalu bertembung dengan kereta jenis Honda Accord yang dipandu bapa saudaranya.

Azisman berkata akibat kejadian itu kedua-dua pemandu terbabit tersepit dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa.

Bapa kepada Fong yang dihubungi mengenai kejadian itu bergegas ke tempat tersebut dan terkejut apabila mendapati anaknya terbabit dalam kemalangan dengan adiknya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain