suria

DVD Cetak Rompak Dan Mesin Penyalin RM3 Juta Dirampas Di Pulau Pinang

PULAU PINANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis cakera video digital (DVD) cetak rompak dan mesin penyalinnya yang bernilai kira-kira RM3 juta dalam satu serbuan di Desa Iswara, Relau, di sini pagi ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Guna Selan Marian berkata lebih 30,000 keping DVD dan 15 mesin penyalin dirampas dalam serbuan pada kira-kira pukul 11 pagi itu, yang dibuat hasil maklumat awam dan risikan polis sejak dua bulan lepas.

"Setiap mesin penyalin ini mampu menghasilkan salinan kira-kira 20,000 keping DVD dalam sehari," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 36,000 keping label yang dipercayai belum digunakan untuk DVD dan menahan tiga lelaki berumur sekitar 40-an yang dipercayai pekerja kepada kumpulan pengedar DVD cetak rompak itu.

Guna Selan berkata berdasarkan siasatan, premis yang dipercayai disewa sejak November tahun lepas itu dijadikan sebagai tempat pemprosesan DVD untuk diedar di Pulau Pinang.

Katanya kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan mereka yang terlibat boleh dikenakan denda minimum RM2,000 bagi satu karya atau maksimum RM 20,000 bagi satu karya, atau penjara maksimum 20 tahun bagi satu karya atau kedua-duanya sekali.

Guna Selan berkata pihaknya juga sedang menyiasat pemilik premis itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain