suria

Cubaan Seludup Keluar Arak RM1.3 Juta Dari Pelabuhan Klang Tumpas

PELABUHAN KLANG: Pasukan Gerakan Marin Pelabuhan Klang mematahkan satu cubaan menyeludup keluar 10,586 botol pelbagai jenis minuman keras bernilai RM1.3 juta ke Indonesia, petang semalam.

Pegawai Pemerintahnya Deputi Superintenden Norzaid Muhammad Said dalam satu sidang media di sini hari ini, berkata pihaknya menahan bot barter trade dari Indonesia itu semasa melakukan rondaan di perairan Pelabuhan Selatan di sini pada pukul 5.30 petang semalam.

Hasil pemeriksaan rapi, anggotanya menemui 423 kotak berisi minuman keras yang disorokkan di bawah guni berisi pakaian terpakai di dalam bot itu yang menuju ke Dumai, Indonesia, katanya lagi.

Norzaid berkata pihaknya juga menahan reman tekong berusia 38 tahun dan dua awak-awak masing-masing berusia 31 dan 26 tahun kesemuanya warga Indonesia yang mempunyai dokumen perjalanan sah.

Mereka ditahan reman mulai hari ini hingga 3 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana tidak mengisytiharkan mereka membawa minuman keras itu.

Norzaid berkata arak di dalam bot itu itu dibawa masuk dari Singapura untuk dihantar ke sini berdasarkan dokumen pelepasan kastam di Johor Baharu.

Bagaimanapun, beliau berkata bot barter trade itu mempunyai dokumen yang lengkap mengenai barangan lain yang dibawa seperti pakaian terpakai dan tayar motosikal terpakai.

Beliau berkata lazimnya bot barter trade dari Indonesia hanya dibenarkan beroperasi di sini pada hari bekerja sahaja dan tidak pada hujung minggu dan cuti kelepasan am. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain