suria

Asean Bersedia Meliberalisasi 15 Subsektor Perkhidmatan

PUTRAJAYA: Asean dalam kedudukan yang baik untuk meliberalisasi 15 lagi subsektor perkhidmatan dalam kesihatan, telekomunikasi dan pelancongan di bawah Pakej Kelapan Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (AFTA) mengenai perkhidmatan.

Perkumpulan serantau dengan 10 anggota itu akan turut meningkatkan tawaran dalam 65 subsektor di bawah Pakej Ketujuh perjanjian itu yang berkuat kuasa pada 1 Januari tahun ini.

Mengikut pakej yang ditambah baik itu, syarikat-syarikat di rantau Asean boleh menguasai sehingga 70 peratus ekuiti dalam syarikat dalam subsektor yang diliberalisasi di negara-negara anggota, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Rundingan sedang dijalankan bagi menambah baik tawaran dalam 65 subsektor dan meliberalisasi 15 subsektor baru, katanya kepada pemberita di luar acara Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Ekonomi Asean ke-16 di sini hari ini.

Mustapa berkata bukan Malaysia sahaja melaksanakan liberalisasi tetapi negara Asean yang lain juga berbuat demikian.

Negara anggota Asean telah memuktamadkan tujuh pakej liberalisasi dalam sektor perkhidmaan antara 1995 dan 2009 melibatkan 65 subsektor.

Secara keseluruhan, Asean merancang untuk meliberalisasi sebanyak 128 subsektor perkhidmatan menjelang 2015, apabila ia dijangka mewujudkan Komuniti Ekonomi Asean.

Semasa Asean dilihat menerima liberalisasi, terdapat saranan supaya perjanjian perdagangan bebas dengan pihak ketiga dilambatkan walaupun semua telah berjanji yang mereka akan memenuhi komitmen mereka di bawah perjanjian itu.

Terdapat aduan mengenai FTA, terutamanya mengenai kemasukan besar-besaran barangan murah dari China, susulan pemeteraian FTA Asean-China.

Mesyuarat tidak rasmi AEM ini dijangka memberi persetujuan terhadap satu kajian yang akan dijalankan oleh Sekretariat Asean mengenai perjanjian perdagangan bebas yang telah ditandatangani sehingga kini dan ini akan menentukan hala tuju strategik masa depan Asean dalam kedudukan serantau.

Seorang pegawai Filipina dipetik sebagai berkata oleh media negara itu yang menyeru supaya dilengahkan rundingan dalam perjanjian perdagangan baru bagi membolehkan perjanjian sedia ada diteliti dahulu.

Menurut pegawai itu, negaranya akan meminta supaya tidak disegerakan rundingan blok serantau untuk perjanjian perkhidmatan dengan India dan perjanjian kerjasama dengan negara Teluk.

Bagi Malaysia, sehingga kini tiada bukti kukuh yang FTA dengan China menjejaskan industri tempatan.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selepas Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun.

Tahun lepas, jumlah perdagangan dengan China berjumlah RM127.9 bilion atau 12.9 peratus daripada perdagangan luar Malaysia. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain