suria

Wanita Indonesia Ditemui Mati Dalam Bilik Tidur

KLANG: Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dalam bilik tidur di rumah sewanya di Jalan Datuk Yusof Shahbandar, Taman Sentosa di sini malam tadi.

Ketua Polis Klang ACP Mohamad Mat Yusop berkata wanita berusia sekitar 30-an itu ditemui dalam keadaan terlentang dan berpakaian dan dipercayai sudah meninggal dunia selama 24 jam.

Beliau berkata polis dimaklumkan mengenai penemuan mayat wanita itu oleh tuan rumah pada 9.45 malam dan tiba di tempat kejadian pada 10.30 malam.

"Setakat ni polis tidak dapat menjangka punca kematian kerana tiada kesan luka pada tubuh mangsa cuma darah meleleh keluar dari hidung dan mulut si mati," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.

Siasatan awal polis mendapati tidak ada kesan pergelutan dan polis setakat ini mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut, katanya.

Beliau berkata dipercayai wanita itu menyewa rumah itu bersama-sama lebih daripada lima rakan senegaranya tetapi teman serumahnya sudah menghilangkan diri.

Mayat wanita yang identitinya masih belum dikenal pasti itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain