suria

Umat Islam Perlu Bersatu Pertahankan Kepentingan

PUTRAJAYA: Umat Islam perlu bersatu merangka tindakan untuk mempertahankan kepentingan umat Islam seluruhnya berbanding dengan kepentingan kelompok politik masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sehingga kini, umat Islam masih belum dapat menyatukan fikrah, hadaf dan amal demi untuk mengekalkan kemurnian Islam.

"Kita kini lebih suka berpecah dan dipecahkan kepada kelompok dan ideologi masing-masing.

"Lebih mendukacitakan apabila kepentingan peribadi mendahului agenda perjuangan, berterusan mempolitikkan semua isu agama, terus melarat sehingga menjadi pergeseran emosional yang mencairkan kemantapan ukhuwah dan memecah kekuatan ummah," katanya pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Beliau berkata penglibatan umat Islam dalam amalan berpolitik secara kepartian memerlukan kebijaksanaan, kematangan serta pendewasaan agar mengetahui batas sempadan sesuatu perbezaan.

"Di sana sini masih wujud perbezaan pendapat sehingga kita tidak dapat bersepakat dalam isu yang patut kita bersatu. Fenomena begini amat merugikan umat Islam, kerana kita akan menjadi lemah dan mudah dipermainkan oleh pihak lain.

"Marilah kita memantap ukhuwah dan bersepakat apabila bertindak dalam isu yang melibatkan kepentingan Islam," katanya.

Jamil Khir berkata perpaduan yang kukuh perlu dibentuk bukan sahaja di kalangan umat Islam tetapi juga dalam kalangan bukan Islam.

Katanya segala unsur yang boleh membawa kepada perpecahan perlu dielakkan dan sifat tolak ansur perlu dititikberatkan agar menjamin sebuah negara yang aman dan maju.

"Inilah asas yang dibentuk oleh Rasulullah S.A.W sehingga berjaya menyatupadukan penduduk di Kota Mekah dan Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, kabilah serta agama yang berlainan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain